Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah
iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah
kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya
kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku
beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.”
(H.R. Muslim)
Huraian Hadis:
1. Istiqamah ialah memelihara batas-batas
syarak dengan melakukan segala suruhan wajib dan mengambil berat suruhan sunat
serta meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berusaha supaya tidak
melakukan perkara-perkara makruh. Saidina Umar al-Khatab RA berkata: Istiqamah
itu ialah melakukan suruhan dan menjauhi larangan, dan tidak menyimpang ke sana
dan ke sini seperti kelakuan seekor musang.
2. Dakwaan beriman semata-mata tidak
memadai jika tidak dibuktikan dengan amalan yang betul mengikut syarak. Ini
kerana amalan zahir baik atau buruk itu adalah terjemahan kepada iman yang
tersemat di dalam jantung hati.
3. Orang-orang Mukmin wajiblah istiqamah
mengerjakan ibadat fardu dan mengambil berat ibadat sunat bukan dengan
cara bermusim seumpama apabila datangnya bulan Ramadan, umat Islam berpusu-pusu
ke masjid, apabila tiba bulan Rabiulawal ramai yang mengamalkan sunnah
Rasul namun apabila lenyapnya bulan-bulan ini kita kembali ke tabiat asal.
4. Iman adalah perkara asas di dalam
Islam, oleh itu tingkatkanlah keimanan kerana dengan iman yang kuat akan
mendorong seseorang untuk beristiqamah melakukan ibadah wajib dan sunat
seikhlas-ikhlasnya dan melahirkan diri sebagai seorang hamba Allah.
Sumber : Emel pelajar UUM
0 Pengomen Terbaik:
Post a Comment