Tujuh Golongan Insan Contoh





 Sumber Imej : Google


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 “Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: Aku takut kepada Allah!, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah”.
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majjah)

Huraian

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu:

1.    Pemerintah yang adil - Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah amat berat dan tidak mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikannya, ganjaran pahalanya adalah amat besar sekali. Namun sekiranya gagal, dia adalah merupakan pemerintah yang zalim dan  akan  mendapat azab di akhirat kelak.

2.    Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya - Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di usia muda kerana ketika itu badannya sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Maka beruntunglah pemuda yang sentiasa mengisi masanya dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

3.    Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid - Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua ayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

4.    Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah - Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya. Elakkan hubungan yang terjalin di atas dasar nafsu sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan menjurus ke arah dosa dan maksiat.

5.    Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata: Aku takut kepada Allah! - Keimanan dan ketakwaan yang sebenar boleh menangkis segala bentuk godaan yang datang. Sekiranya tanpa kekuatan iman, seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina dan maksiat.

6.    Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya - Ini menggambarkan mengenai keikhlasan hati dalam bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya. Ramai yang bersifat riyak dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan daripada orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.

7.    Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah - Inilah sifat Muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh kerana sibuknya ia memikirkan keagungan Yang Maha Pencipta, maka dirinya terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan. 


Sumber : Emel Pelajar

0 Pengomen Terbaik:

Post a Comment

 

Dek Deng Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template