Sumber Imej : Google
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim”.
(Riwayat al-Bukhari)
Huraian
1. Silaturahim bermaksud menyambungkan
tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta
menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat,
teman dan sebagainya.
2. Membina dan mengeratkan silaturahim
adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam. Golongan
yang suka memutuskan hubungan merupakan golongan yang dibenci Rasulullah SAW
sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang Muslim
menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari”.
3. Mewujudkan silaturahim bukan sekadar
membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau
memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih
luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi
sifat saling membantu, bertolak-ansur dan sebagainya.
4. Biasanya punca permasalahan dan gejala
keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan
diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang Muslim yang lain mengajak
saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara
mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta
maaf.
5. Seseorang yang sedang berada dalam
suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap
terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan
bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul
kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya
dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri.
Sumber : Emel Pelajar
0 Pengomen Terbaik:
Post a Comment